Waktu sekarang ialah....Your time now is...

Isnin, 8 Jun 2009

Sahut seruan jaga alam sekitar dunia

Oleh Hajah Saemah Zulkefli

Usaha menanam pokok sebegini adalah antara usaha murni
membantu mengurangkan masalah pemanasan global.

KUALA BELAIT, Ahad - Sebanyak 100 batang pohon daripada berbagai jenis pokok ditanam kira-kira 30 anggota Persekutuan Pengakap Brunei Darussalam di kawasan Tapak Penanaman Pokok Kampung Sungai Mahu, Bukit Sawat di Labi dekat sini, hari ini.

Penanaman pokok itu dilakukan bersempena dengan sambutan Hari Alam Sekitar Dunia anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diadakan secara serentak di seluruh dunia.

Pesuruhjaya Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Brunei Darussalam (Unit Pengakap Kelana), Haji Othman Durani memberitahu media acara berkenaan merupakan pertama kali disertai pengakap Brunei tahun ini.

"Ia sebagai menyertai warga dunia dan saudara pengakap seluruh rantau dan dunia bagi menyumbang khidmat mengatasi perubahan cuaca di mana pengakap sedunia berharap dapat menanam sejumlah 65,000 pokok daripada lima bilion pokok keseluruhannya yang dirancang akan ditanam di seluruh dunia," katanya.

Penanaman pokok itu adalah bagi menghijaukan bumi untuk mengatasi masalah iklim yang melanda pada masa ini di seluruh dunia.

Dalam projek hari ini, tiga jenis pokok yang ditanam di kawasan berkenaan antaranya ialah Semala, Tolong dan Meranti.

Menurut Haji Othman lagi, semua sumber pokok tanaman dan baja serta nasihat diberikan oleh Jabatan Perhutanan dan pokok yang ditanam itu dihasratkan untuk dikomersialkan di masa akan datang.

Beliau menambah, sebanyak 400 pohon jenis pokok-pokok yang sama sudah ditanam oleh anggota pengakap negara ini sejak awal bulan Jun tahun lalu di kawasan seluas satu hektar di Kilometer 12 Jalan Labi dengan jarak penanaman setiap pokok ialah lima meter.

Masih terdapat tiga hektar lagi tanah di sana yang perlu dilaksanakan projek serupa.
Pokok yang ditanam itu akan mengambil masa 60 tahun sebelum matang untuk ditebang dan dikomersialkan menjadi papan.

Di samping pokok berkenaan, aktiviti turut melibatkan penanaman pokok Periuk Kera (Sumbui-Sumbui) yang bermatlamat memberikan kemudahan kepada pelajar negara ini membuat kajian ke atas habitat itu.

Di samping aktiviti bertanam, Majlis Forum Hutan juga diadakan pada penghujung Mei lalu yang antara lain bagi memberikan kesedaran kepada pengakap bahawa hutan dan alam sekitar adalah penting bagi keperluan manusia dan makhluk lain di dunia ini.

Antara yang terlibat dalam aktiviti hari ini ialah pengakap Kelana yang berusia 18 hingga 26 tahun, Pengakap Tunas (7-12 tahun), Pengakap Muda (12-16 tahun) dan Remaja (16-18 tahun).
courtesy from Media Permata

Tiada ulasan:

Catat Ulasan