Waktu sekarang ialah....Your time now is...

Memaparkan catatan dengan label media permata. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label media permata. Papar semua catatan

Sabtu, 27 Jun 2009

Michael Jackson - May Allah bless you..

AFP PHOTO

Peminat tanah air kenangi Michael Jackson
Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Penyanyi legenda terkenal dunia, Raja Pop yang menganut agama Islam tahun lalu, Michael Jackson meninggal dunia awal pagi hari ini di Hospital UCLA Medical Centre, Los Angeles, Amerika Syarikat akibat sakit jantung. Semasa hayatnya, beliau berjaya mencipta nama hingga ke tahap antarabangsa dan sejarah kerana menghasilkan penjualan rekod albumnya yang terbanyak di dunia, dan seorang penari dan penyanyi yang berbakat.

Michael Jackson juga pernah mengadakan persembahan konsert beliau di Brunei sekitar Julai dan Disember 1996 dan beliau menggegarkan Amphitheatre Jerudong yang dikunjungi ribuan peminat beliau dari dalam negara serta beberapa negara jiran. Persembahan beliau yang bersejarah itu ditonton secara percuma oleh orang ramai dan antara album yang didendangkan pada konsert itu termasuk lagu hit terkenal beliau iaitu Thriller, Beat It dan Billie Jean yang mendapat sambutan jualan terbaik sehingga mencapai $26 juta.

Salah seorang peminat tempatan yang ditemu bual berkata: "Beliau (Michael Jackson) adalah seorang yang sangat lemah lembut, berwibawa tinggi, penyayang, pengasih dan juga mempunyai cita-cita tinggi."
"Saya masih ingat sewaktu konsert beliau, kami berada di ruang VVIP untuk beramah mesra bersama Michael Jackson. Beliau adalah seorang Raja Pop dunia yang sebenar, kerana beliau mempunyai sifat tidak angkuh dan senantiasa menyedari akan kesedihan orang lain."
Courtesy of Media Permata

Isnin, 8 Jun 2009

Sahut seruan jaga alam sekitar dunia

Oleh Hajah Saemah Zulkefli

Usaha menanam pokok sebegini adalah antara usaha murni
membantu mengurangkan masalah pemanasan global.

KUALA BELAIT, Ahad - Sebanyak 100 batang pohon daripada berbagai jenis pokok ditanam kira-kira 30 anggota Persekutuan Pengakap Brunei Darussalam di kawasan Tapak Penanaman Pokok Kampung Sungai Mahu, Bukit Sawat di Labi dekat sini, hari ini.

Penanaman pokok itu dilakukan bersempena dengan sambutan Hari Alam Sekitar Dunia anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diadakan secara serentak di seluruh dunia.

Pesuruhjaya Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Brunei Darussalam (Unit Pengakap Kelana), Haji Othman Durani memberitahu media acara berkenaan merupakan pertama kali disertai pengakap Brunei tahun ini.

"Ia sebagai menyertai warga dunia dan saudara pengakap seluruh rantau dan dunia bagi menyumbang khidmat mengatasi perubahan cuaca di mana pengakap sedunia berharap dapat menanam sejumlah 65,000 pokok daripada lima bilion pokok keseluruhannya yang dirancang akan ditanam di seluruh dunia," katanya.

Penanaman pokok itu adalah bagi menghijaukan bumi untuk mengatasi masalah iklim yang melanda pada masa ini di seluruh dunia.

Dalam projek hari ini, tiga jenis pokok yang ditanam di kawasan berkenaan antaranya ialah Semala, Tolong dan Meranti.

Menurut Haji Othman lagi, semua sumber pokok tanaman dan baja serta nasihat diberikan oleh Jabatan Perhutanan dan pokok yang ditanam itu dihasratkan untuk dikomersialkan di masa akan datang.

Beliau menambah, sebanyak 400 pohon jenis pokok-pokok yang sama sudah ditanam oleh anggota pengakap negara ini sejak awal bulan Jun tahun lalu di kawasan seluas satu hektar di Kilometer 12 Jalan Labi dengan jarak penanaman setiap pokok ialah lima meter.

Masih terdapat tiga hektar lagi tanah di sana yang perlu dilaksanakan projek serupa.
Pokok yang ditanam itu akan mengambil masa 60 tahun sebelum matang untuk ditebang dan dikomersialkan menjadi papan.

Di samping pokok berkenaan, aktiviti turut melibatkan penanaman pokok Periuk Kera (Sumbui-Sumbui) yang bermatlamat memberikan kemudahan kepada pelajar negara ini membuat kajian ke atas habitat itu.

Di samping aktiviti bertanam, Majlis Forum Hutan juga diadakan pada penghujung Mei lalu yang antara lain bagi memberikan kesedaran kepada pengakap bahawa hutan dan alam sekitar adalah penting bagi keperluan manusia dan makhluk lain di dunia ini.

Antara yang terlibat dalam aktiviti hari ini ialah pengakap Kelana yang berusia 18 hingga 26 tahun, Pengakap Tunas (7-12 tahun), Pengakap Muda (12-16 tahun) dan Remaja (16-18 tahun).
courtesy from Media Permata

Sabtu, 30 Mei 2009

Tugasnya berisiko, tapi besar ganjaran

Oleh Imelda Farrah Zohre HA

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Untuk mencapai kesejahteraan dan keamanan di sesebuah negara atau tempat bukannya satu pekerjaan yang mudah, malah memerlukan kepada pasukan keselamatan.



Imam berkata di negara ini terdapat pasukan keselamatan yang diberi amanah untuk mempertahankan kedaulatan raja, agama, bangsa dan negara dan salah satu daripadanya ialah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang pada 31 Mei ini genap usianya 48 tahun.



Imam dalam Khutbah Jumaat hari ini berkata dalam usianya yang matang itu sudah setentunya mereka mempunyai kekuatan dan kemampuan serta persediaan yang cukup dan mampu untuk menghadapi segala rintangan dan cabaran untuk menegakkan dan mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta ini.


Sesungguhnya tugas sebagai tentera adalah amat mulia, ia bukan tugas yang mudah tetapi banyak risiko dan berat tanggungjawabnya dan angkatan tentera yang menjalankan tugasnya dengan amanah dan penuh berdedikasi sangatlah kita sanjung tinggi dan hormati, jelas Imam lagi.


Imam berkata apa yang lebih penting juga tugas yang mereka pikul itu amat besar ganjarannya apatah lagi jika disertai dengan niat ikhlas kerana Allah SWT.


Imam menambah kata sesungguhnya kekuatan dan kehebatan sesebuah pasukan tentera bukan saja terletak pada senjata yang canggih dan lengkap serta anggota yang ramai, bahkan juga memerlukan kepintaran dalam menyusun strategi, persefahaman yang baik, sifat setia kawan, taat kepada pemerintah, fizikal yang sihat dan cergas dan yang lebih penting ialah keimanan dan ketakwaan kepada Allah.


Menurut Imam lagi kekuatan Iman penting bagi sesebuah pasukan kerana sejarah membuktikan yang kekuatan dan kemenangan sebenar tentera Islam bukanlah terletak kepada keramaian tentera dan kecukupan peralatan perang tetapi berpunca daripada kekuatan Iman, keikhlasan, kejujuran, kepada ketua dan yang penting berjuang semata-mata kerana Allah.


Sebagai contoh peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah semasa perang Badar walaupun pada ketika itu bilangan tentera Islam lebih kurang 300 orang dan tentera musuh lebih kurang 1,000 orang, tetapi berbekalkan keimanan dan kekuatan dan semangat juang yang tinggi kepada Allah serta strategi yang berkesan maka tentera musuh dapat ditewaskan, jelas Imam. Beliau menambah kata semangat perjuangan dan mempertahankan negeri bukan hanya pada anggota tentera tetapi perlu ada pada semua lapisan masyarakat kerana negeri memerlukan rakyat yang sanggup berjuang dan berkorban bagi mempertahankan negerinya.


"Sehubungan itu perasaan cinta kepada agama, bangsa, raja dan tanah air perlu disemai dan kita perlu sedar musuh yang sebenarnya bukan sekadar musuh yang beradu kekuatan dengan kita, tetapi ialah hawa nafsu yang mendorong kepada kemungkaran yang cuba menggugat kesejahteraan, kehormatan, mengancam kesucian agama dan merosakkan budaya seperti penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas dan bermacam-macam lagi gejala sosial yang boleh membawa keruntuhan moral, terang Imam lagi.


Imam berkata "Sebagai rakyat dan penduduk di negara ini, kita seharusnya memerangi gejala ini daripada terus merebak meracuni pemikiran anak bangsa kita.


Courtesy from Media Permata