Waktu sekarang ialah....Your time now is...

Sabtu, 30 Mei 2009

Tugasnya berisiko, tapi besar ganjaran

Oleh Imelda Farrah Zohre HA

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Untuk mencapai kesejahteraan dan keamanan di sesebuah negara atau tempat bukannya satu pekerjaan yang mudah, malah memerlukan kepada pasukan keselamatan.



Imam berkata di negara ini terdapat pasukan keselamatan yang diberi amanah untuk mempertahankan kedaulatan raja, agama, bangsa dan negara dan salah satu daripadanya ialah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang pada 31 Mei ini genap usianya 48 tahun.



Imam dalam Khutbah Jumaat hari ini berkata dalam usianya yang matang itu sudah setentunya mereka mempunyai kekuatan dan kemampuan serta persediaan yang cukup dan mampu untuk menghadapi segala rintangan dan cabaran untuk menegakkan dan mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta ini.


Sesungguhnya tugas sebagai tentera adalah amat mulia, ia bukan tugas yang mudah tetapi banyak risiko dan berat tanggungjawabnya dan angkatan tentera yang menjalankan tugasnya dengan amanah dan penuh berdedikasi sangatlah kita sanjung tinggi dan hormati, jelas Imam lagi.


Imam berkata apa yang lebih penting juga tugas yang mereka pikul itu amat besar ganjarannya apatah lagi jika disertai dengan niat ikhlas kerana Allah SWT.


Imam menambah kata sesungguhnya kekuatan dan kehebatan sesebuah pasukan tentera bukan saja terletak pada senjata yang canggih dan lengkap serta anggota yang ramai, bahkan juga memerlukan kepintaran dalam menyusun strategi, persefahaman yang baik, sifat setia kawan, taat kepada pemerintah, fizikal yang sihat dan cergas dan yang lebih penting ialah keimanan dan ketakwaan kepada Allah.


Menurut Imam lagi kekuatan Iman penting bagi sesebuah pasukan kerana sejarah membuktikan yang kekuatan dan kemenangan sebenar tentera Islam bukanlah terletak kepada keramaian tentera dan kecukupan peralatan perang tetapi berpunca daripada kekuatan Iman, keikhlasan, kejujuran, kepada ketua dan yang penting berjuang semata-mata kerana Allah.


Sebagai contoh peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah semasa perang Badar walaupun pada ketika itu bilangan tentera Islam lebih kurang 300 orang dan tentera musuh lebih kurang 1,000 orang, tetapi berbekalkan keimanan dan kekuatan dan semangat juang yang tinggi kepada Allah serta strategi yang berkesan maka tentera musuh dapat ditewaskan, jelas Imam. Beliau menambah kata semangat perjuangan dan mempertahankan negeri bukan hanya pada anggota tentera tetapi perlu ada pada semua lapisan masyarakat kerana negeri memerlukan rakyat yang sanggup berjuang dan berkorban bagi mempertahankan negerinya.


"Sehubungan itu perasaan cinta kepada agama, bangsa, raja dan tanah air perlu disemai dan kita perlu sedar musuh yang sebenarnya bukan sekadar musuh yang beradu kekuatan dengan kita, tetapi ialah hawa nafsu yang mendorong kepada kemungkaran yang cuba menggugat kesejahteraan, kehormatan, mengancam kesucian agama dan merosakkan budaya seperti penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas dan bermacam-macam lagi gejala sosial yang boleh membawa keruntuhan moral, terang Imam lagi.


Imam berkata "Sebagai rakyat dan penduduk di negara ini, kita seharusnya memerangi gejala ini daripada terus merebak meracuni pemikiran anak bangsa kita.


Courtesy from Media Permata

Tiada ulasan:

Catat Ulasan